Kebajikan anggota Angkatan Pertahanan Awam terbela – [24 Mac 2021] Berita Harian

Mohd Nasaruddin Parzi dan Muhammad Yusri Muzamir – Mac 24, 2021 @ 4:39pmbhnews@bh.com.my

KAJANG: Jabatan Perdana Menteri komited untuk memartabat peranan dan fungsi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta memastikan kebajikan warganya sentiasa terbela.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelbagai langkah proaktif akan terus diambil bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan angkatan itu.

Satu usahanya, beliau berkata, dengan memperluas operasi kecemasan dan bencana yang meliputi operasi khas bersepadu merentasi agensi. 

“Langkah ini bertujuan untuk memerangi pandemik COVID-19, khususnya stesen-stesen atau pusat kuarantin, kawalan sempadan serta menerusi program pemerkasaan komuniti,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Ke-69 dan perasmian ibu pejabat APM. 

Pada majlis sama, Muhyiddin turut melancarkan sistem TRAC APM, inisiatif pendigitalan yang dilaksana agensi itu selaras usaha kerajaan mentranformasi pendigitalan negara.

Perdana Menteri juga menyerahkan kenderaan pacuan empat roda kepada agensi APM negeri.

Dalam memperkukuh peranan APM sebagai benteng pertahanan negara, beliau berkata, pembinaan kompleks pejabat dan pusat latihan di Perak, Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Kompleks ini bakal menjadi pusat pemindahan sementara atau ‘temporary shelters’ untuk penduduk yang terkesan akibat bencana dan akan dilengkapi dengan Sistem Amaran Awam,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga melakukan penambahbaikan atau penstrukturan semula jawatan tetap di pejabat negeri dan daerah melalui Sekretariat Pengurusan Bencana.

“Saya difahamkan kini hanya terdapat 578 orang pegawai yang memegang jawatan tetap, bagi pengurusan bencana di lapangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, APM akan terus memainkan peranan untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat setempat dalam menghadapi sebarang bentuk bencana dan kecemasan peringkat negeri, daerah sehingga ke akar umbi. 

“Ini termasuklah turun ke lapangan dengan kerap untuk mendidik atau mengadakan libat urus bagi meningkatkan kesedaran orang ramai. 

“Langkah ini dapat memastikan mereka bersedia bertindak sebagai ‘first-responder’ apabila berdepan dengan situasi kecemasan seperti bencana atau kebakaran,” katanya. 

Muhyiddin berkata, sepanjang pandemik COVID-19, APM sudah mencurahkan khidmat bakti dan menggalas tanggungjawab yang besar sebagai petugas barisan hadapan, dalam membantu usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak ini. 

“Saya maklum ramai dalam kalangan warga APM yang sudah dan akan digerakkan, khususnya ke kawasan luar bandar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang kini sedang giat dijalankan.

“Inilah termasuklah membantu masyarakat setempat untuk melakukan pendaftaran vaksin,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/799791/kebajikan-anggota-angkatan-pertahanan-awam-terbela