PETALING JAYA 11 Mac – Sejajar dengan sentimen pasaran hartanah yang semakin baik pada tahun ini, syarikat pelaburan dan pemaju hartanah, Nexgram Holdings Bhd. (Nexgram), merancang untuk memberi tumpuan dengan membangunkan projek-projek kediaman mampu milik di bawah RM500,000 sebuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Nexgram, Tey Por Yee berkata, pembinaan rumah tersebut merupakan inisiatif yang diambil berikutan kos rumah yang semakin meningkat di sekitar Lembah Klang, terutamanya bagi kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.
Menurut beliau, pembangunan projek hartanah berkenaan merupakan usaha sama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam merealisasikan projek rumah kediaman berkenaan.
Ujarnya, projek berkenaan akan dijalankan di Putrajaya bagi kediaman kondominium sebanyak 600 buah dan Cyberjaya dengan konsep pembangunan bercampur iaitu rumah kediaman dan pusat komersial masing-masing dengan tanah seluas 2.14 hektar dan 2.39 hektar.
“Bagi kediaman jenis kondominium di Putrajaya, kami akan menawarkan kediaman mampu milik yang berharga RM500,000 dan ke bawah, sementara kediaman di Cyberjaya pula ditawarkan mengikut keluasan binaan bagi rumah dan pusat perniagaan dengan harga RM600 untuk setiap kaki persegi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek pembinaan rumah mampu milik berkenaan dianggarkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.44 bilion, iaitu Putrajaya berjumlah RM300 juta dan Cyberjaya bernilai RM1.14 billion.
“Bagi projek perumahan ini, kami menyasarkan perolehan bersih sebanyak RM293 juta selepas menolak segala belanja operasi dan kos-kos lain,” ujarnya.
Tambah Por Yee, projek-projek kediaman yang akan difokuskan syarikat selepas ini kebanyakannya adalah kediaman mampu milik kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi penduduk yang tinggal di kawasan bandar di Lembah Klang.
Ditanya mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April ini, Por Yee berkata, pihaknya telah bersedia dan harga rumah yang ditawarkan adalah selepas mengambil kira sistem cukai baharu itu dan akan memastikan kos yang dikenakan tidak terlalu tinggi.
“Walaupun GST akan dilaksanakan tidak lama lagi, tetapi kita telah memastikan bahawa perancangan dan persediaan bersepadu dijalankan bagi mengatasi sebarang isu yang timbul supaya harga rumah yang ditawarkan masih di paras mampu milik,” jelasnya.
http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/nexgram-angkasa-bangunkan-hartanah-1.68449